Lelaki mengamuk pecahkan cermin kereta isteri ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk pecahkan cermin kereta isteri ditahan

TANGKAP layar menunjukkan suspek yang merentap cermin kereta isterinya hingga pecah dan tercabut dalam kejadian di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Seorang lelaki yang mengamuk dan memecahkan cermin kereta isterinya di Jalan Teluk Wanjah di sini pada Isnin lalu ditahan polis pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada wanita berusia 24 tahun itu pada pukul 10.37 pagi.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai kerani mendakwa ketika kejadian dia memandu kereta Perodua Axia sebelum menyedari diekori suaminya yang berusia 30 tahun di Lorong Panglima Jalan Teluk Wanjah di sini.

“Suspek pada masa itu menunggang motosikal jenis Honda Wave dan dia seterusnya bertindak menahan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengetuk cermin sebelah penumpang hadapan beberapa kali dan menyuruh mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberikan wang kepada anak mangsa.

“Mangsa kemudian membuka sedikit cermin kereta, namun, secara tiba-tiba suspek merentap cermin berkenaan sehingga pecah dan tercabut.

“Serpihan kaca telah terkena pada anak mangsa sehingga menyebabkannya terkejut,” ujarnya.

Kata beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran rumah mangsa yang tidak dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun kejadian sempat dirakam mangsa dengan telefon bimbit miliknya,” jelasnya.

Tambahnya, suspek telah ditahan pada hari kejadian dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dengan kes disiasat di bawah Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya