Remaja lelaki antara 369 individu ditahan dalam Op Sarang - Utusan Malaysia

Remaja lelaki antara 369 individu ditahan dalam Op Sarang

SEBAHAGIAN individu yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar Perak. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Remaja lelaki berusia 13 tahun antara 369 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah selepas 11 sarang penagihan digempur dalam Op Sarang Khas Bersepadu sejak kelmarin.

Operasi bermula pukul 12.01 pagi Ahad lalu dan berakhir pukul 2 petang tadi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis heroin seberat 649.22 gram, syabu (81.51 gram), ganja (51.32 gram), estacy (3.33 gram), lapan biji pil eramin, tiga liter air ketum dan sembilan kilogram daun ketum.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM33,809.70.

“Sebanyak 11 sarang penagihan dadah telah diserbu dan menerusi serbuan itu, seramai 369 individu berusia antara 13 hingga 60 tahun ditangkap.

“Tangkapan itu juga melibatkan 30 warga asing yang disyaki penagih dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, berdasarkan tangkapan itu, 47 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah manakala bagi kesalahan memiliki dadah seramai 140 orang dan 181 orang pula penagih dadah. 

Katanya, daripada jumlah penagih yang ditahan, seramai 142 orang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 39 orang penagih lagi disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Dalam operasi ini juga, kita telah menangkap seorang lelaki di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan 11 individu sebagai orang dikehendaki.

“Selain membuat rampasan dadah, kita juga menyita kenderaan dan wang tunai berjumlah RM13,600,” katanya.

Menurutnya, operasi itu turut mendapat kerjasama 30 pegawai dan anggota Rela Perak. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya