GEORGETOWN: Sebanyak 1,072 individu diperiksa dengan enam daripadanya ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan malam tadi di seluruh Pulau Pinang sempena perayaan Deepavali.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 11 malam sehingga 4 pagi itu, sebanyak 945 kenderaan turut diperiksa dan 240 kompaun telah dikeluarkan.
Mohd. Shuhaily berkata, polis menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di tujuh lokasi di lima daerah di negeri ini iaitu Timur Laut; Barat Daya; Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
“Polis mengeluarkan sebanyak 240 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Selain itu, polis telah membuat enam tangkapan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Menurut beliau, statistik jumlah tangkapan menerusi Op Mabuk didapati meningkat selepas rentas negeri dibenarkan.
Jelasnya, dalam tempoh antara 11 Oktober hingga 2 November lalu, seramai 47 orang telah ditahan berbanding hanya 18 orang antara 20 September hingga 10 Oktober iaitu sebelum rentas negeri dibenarkan.
Tambahnya, operasi berkenaan turut disertai Timbalan Ketua negeri, Datuk Fisol Salleh; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dan beberapa pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. -UTUSAN ONLINE










