TUMPAT: Terdesak mahu meloloskan diri daripada polis, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sanggup meninggalkan isterinya di tepi jalan di Kampung Padang Pohon Tanjong, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.20 malam, suspek nekad meninggalkan isteri dan motosikal jenis Modenas Kriss bersama 120 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,200 sebelum melarikan diri dalam kawasan semak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, anggota polis melihat pasangan suami isteri itu menunggang motosikal di depan sebuah stesen minyak di Kota Kubang Labu, di sini.
Menyedari pergerakan mereka diperhatikan kata beliau, suspek bertindak memecut laju sehingga ke Kampung Pohon Tanjung.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek berhenti dan lari ke dalam kawasan semak, meninggalkan isterinya berusia 21 tahun seorang diri bersama motosikal dan sebuah beg galas.
“Pemeriksaan pada beg galas itu menjumpai 120 biji pil kuda, dua telefon pintar dan wang kertas bernilai RM82,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Razi, wanita yang berasal dari Kampung Kebakat, di sini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Setakat ini, pihak polis sedang giat mengesan suaminya. -UTUSAN ONLINE