KUBANG PASU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas barangan seludup termasuk 15 tan daun ketum bernilai lebih RM2 juta dalam Op Benteng Covid Darat di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis dalam tempoh sebulan sejak 1 September lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Superintenden Ramli Wan Salin berkata, rampasan daun ketum banyak dilakukan di sekitar Chuping dan Padang Besar, Perlis dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM448,290.
“Taktik yang dilakukan sindiket ini masih sama iaitu meletakkan guni daun ketum di kawasan semak dan meninggalkannya sebelum diambil sindiket lain untuk ke sempadan negara jiran.
“Pihak kami sentiasa memantau dan membuat rondaan berikutan sindiket ini akan mengambil peluang jika pihak kami lalai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas daripada Batalion 18 kepada PGA Batalion 1 Ulu Kinta di Martak Taktikal PGA Briged Utara di Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Kata beliau, seramai enam suspek telah ditahan kerana terlibat dengan sindiket penyeludupan ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Ramli berkata, pihaknya bersama Skuadron Perisai 1 Kulim dan Skuadron Perisai 3 Ulu Kinta kini aktif menjalankan operasi melalui penggunaan dron sejak tiga bulan lalu.
“Kaedah ini amat berkesan dan dua kes berkaitan penyeludupan ketum berjaya ditumpaskan melalui penggunaan dron ini,” ujarnya.
Menurutnya, permintaan ketum semakin meningkat apabila Thailand mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya seterusnya membolehkan mereka menggunakan atau menjualnya secara sah di sana.
“Disebabkan itu, setiap bulan akan ada individu yang cuba menyeludup daun ketum ini ke sana tambahan penyeludup juga memperoleh upah lumayan,” katanya.
Jelasnya, selain daun ketum, pihaknya turut merampas barangan makanan yang tidak mendapat kelulusan dan barangan kosmetik.
“Kita juga merampas tiga buah lori, 10 kenderaan, 11 motosikal, dua kontena, sebuah van, radio dan telefon bimbit.
“Ini adalah kejayaan terbesar PGA Batalion 18 sepanjang bulan lalu dan akan terus melakukan tugas menjaga sempadan negara daripada aktiviti-aktiviti terlarang ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE