PETALING JAYA: Sebanyak 32 individu dikenakan kompaun selepas menyertai sambutan hari jadi di sebuah rumah di Bukit Damansara dekat sini semalam.
Serbuan Op Pelita dilakukan susulan aduan diterima pihak polis berhubung pesta diadakan di kediaman berkenaan pada pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil serbuan mendapati seramai 32 individu warga tempatan dan seorang individu warga asing dipercayai penjaga rumah berusia lingkungan 20-an hingga 30-an mengadakan majlis hari jadi.
Katanya, mereka dipercayai menyewa kediaman tersebut selama dua hari dengan kadar bayaran RM1600 sehari.
“Pemeriksaan terhadap semua individu mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing pula mendapati seorang lelaki dan seorang wanita positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua individu terbabit diberikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).- UTUSAN ONLINE