Kubu bawah tanah proses arak tiruan - Utusan Malaysia

Kubu bawah tanah proses arak tiruan

LOKASI khas bawah tanah bagi menjalankan kegiatan memproses arak tiruan oleh warga asing di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas, di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ibarat mengaburi mata musuh ketika perang di Vietnam pada tahun 1970-an, taktik tersebut digunakan oleh tiga warga Vietnam bersama seorang rakan mereka dari Myanmar yang memproses arak tiruan di kawasan bawah tanah.

Namun, modus operandi itu berjaya dihidu anggota Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam yang berjaya mengesan aktiviti tersebut sebelum menyerbu lokasi itu di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas semalam.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5, PGA Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang, keempat-empat lelaki warga asing berusia 19 hingga 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, mereka menjalankan operasi di sebuah pondok yang terdapat ruang bawah tanah dan tersembunyi dipercayai dibuat khas seperti bilik bagi memproses arak tersebut sejak setahun lalu.

“Tangkapan kali ini agak unik kerana tempat proses arak tiruan terbabit dilakukan di kawasan bawah tanah dan ini kes pertama seumpama itu yang kita berjaya bongkar di negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Dimin, hasil siasatan awal yang dijalankan ke atas suspek, mereka menjadikan pondok tersebut sebagai tempat memproses dan menjual samsu haram di sekitar Pontian dengan menyasarkan pekerja asing sebagai pembeli.

Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,992 dan tangkapan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Sementara itu,  dalam kes berasingan, Dimin berkata, pihaknya berjaya menahan seorang warga tempatan dan dua warga asing yang aktif membekalkan mercun dan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit sekitar Simpang Renggam.

Dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang, semalam, ketiga-tiga mereka ditahan di sekitar Jalan Parit Hj. Hashim, Simpang Renggam.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam untuk terus menyalur maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwarta melalui talian hotline 07-7557280. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN