Tembak anggota TUDM : Senjata api suspek dikenal pasti - Utusan Malaysia

Tembak anggota TUDM : Senjata api suspek dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menembak mati tiga rakannya dalam kejadian di Kota Samarahan, Sarawak awal pagi ini dipercayai menggunakan senjata api yang dirampas dari tempat simpanan senjata di Balai Pengawal berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner, Mancha Anak Ata berkata, ekoran itu, salah seorang mangsa yang juga rakannya cuba menenangkan suspek, namun, telah ditembak di bahagian perut.

Kata beliau, selepas itu, suspek kemudiannya masuk ke bahagian bilik rehat sebelum menembak seorang lagi di bahagian sisi dada sebelah kanan sebelum maut di tempat kejadian.

Selepas itu, ujar beliau lagi, suspek kemudiannya menembak seorang lagi rakan setugasnya di bahagian belakang sebelum dia kemudiannya membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan mati di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, tiga orang mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi di Hospital Jantung, Kota Samarahan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha Anak Ata berkata, berikutan kejadian itu, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah bergegas ke tempat kejadian.

Jelasnya, pengambilan sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA), senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata akan dihantar ke forensik dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya.

“Selain itu, pihak polis juga telah meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut.’

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

“Maklumat suspek dan mangsa akan dirahsiakan untuk menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga. Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN