SHAH ALAM: Cubaan dua lelaki memindahkan arak seludup di kawasan parkir di Flat PKNS di sini, tidak berhasil apabila dicekup polis, semalam.
Serbuan pada pukul 10.30 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang itu membawa kepada rampasan ratusan botol arak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5,550.
Komander PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menerusi Unit Risikan Marin (URM) sebelum itu melakukan pemantauan dalam Ops Landai di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemerhatian mendapati dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah kotak dari sebuah van kedua kereta.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan pelbagai jenis arak tidak bercukai di dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut.
“Dua lelaki tempatan berusia 23 hingga 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Shamsol, semua barang rampasan dihantar ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Selain arak, tiga kenderaan suspek yang dirampas masing-masing van Toyota Hiace serta kereta Proton Iswara dan Nissan Sentra.
“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM100,550,” ujarnya.
Tambah beliau, kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Shamsol meminta orang ramai terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang supaya dapat dibanteras habis-habisan. -UTUSAN ONLINE