Polis siasat pelanggaran SOP pemberian durian percuma - Utusan Malaysia

Polis siasat pelanggaran SOP pemberian durian percuma

ORANG ramai yang beratur pada program pemberian durian percuma di Parit Buntar semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian buah durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong di sini semalam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, polis mendapat makluman awam berkenaan pemberian durian secara percuma itu yang menyebabkan pelanggaran SOP dengan tidak mematuhi penjarakan fizikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penganjuran program itu mengakibatkan orang ramai yang hadir ke lokasi berdiri dan beratur dalam keadaan tidak terkawal tanpa penjarakan fizikal.

Katanya, polis yang tiba ke tempat itu telah mengarahkan penganjur untuk menghentikan pemberian durian secara percuma itu dengan serta merta.

“Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan satu kertas siasatan telah dibuka ke atas syarikat yang menjadi penganjur program itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua -duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

Semalam, tular dalam media sosial gambar dan video orang ramai yang berpusu-pusu berdiri dan beratur tanpa mematuhi penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan buah durian yang diedarkan secara percuma oleh sebuah syarikat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN