PETALING JAYA: Identiti lelaki yang bertindak melanggar kereta peronda polis (MPV) ketika melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway, dekat sini, Sabtu lalu telah dikenal pasti.
Malah, kenderaan yang dinaiki suspek di susur Jalan NPE Sunway menghala Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu turut ditemukan kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek dipercayai merupakan warga tempatan.
“Setakat ini, tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan usaha mengesan suspek masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, seorang lelaki bertindak melanggar MPV berkenaan ketika melarikan diri daripada pemeriksaan di jalan terbabit pada pukul 7.25 pagi pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, anggota unit cawangan MPV terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback dalam keadaan mencurigakan.
Suspek kemudian bertindak melanggar kenderaan dinaiki polis sebelum melarikan diri.-UTUSAN ONLINE










