KEMAMAN: Aktiviti sejuk beku sotong di tengah laut yang dijalankan nelayan Vietnam terbongkar selepas sebuah bot kargo mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot disyaki bot induk yang mengangkut hasil laut negara itu ditahan pada jarak 74 batu nautika dari Kuala Kemaman di sini kira-kira pukul 2 petang.
Katanya, hasil semakan pada sistem penentu kedudukan global (GPS) bot berkenaan mendapati bot itu beroperasi dari Johor ke perairan Kelantan.
“Kita tidak menolak kemungkinan bot itu sudah lebih seminggu berada di perairan negara untuk memungut dan membeli hasil laut sebelum dibawa pulang ke negara asal serta dieksport.
“Kita juga akan menyiasat sama ada nelayan tempatan turut terlibat dalam urusan menjual hasil laut kepada bot kargo berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Kemaman, hari ini.
Menurut Rashidilhadi, pihaknya merampas empat tan sotong, 1,000 liter diesel dan muatan kargo yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
Katanya, bot bersama 12 kru berusia antara 23 hingga 47 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri sah itu kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Malaysia Kemaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (i) (a) Akta Perikanan 1985. -UTUSAN ONLINE










