Aduan transaksi dalam talian naik dua kali ganda - Utusan Malaysia

Aduan transaksi dalam talian naik dua kali ganda

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 11,511 aduan berhubung transaksi dalam talian sepanjang tahun lalu dengan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah yang direkodkan meningkat berbanding 5,416 aduan transaksi dalam talian yang diterima pada 2019.

Beliau berkata, sehingga Jun tahun ini, aduan mengenai penipuan dalam talian dan jenayah siber terus menunjukkan trend peningkatan sehingga 45.2 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan diterima KPDNHEP.

“Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang pandemik Covid-19 tahun lalu menyaksikan perubahan ketara urus niaga dalam talian apabila pengguna Malaysia beralih kepada transaksi ini dan platform e-dagang yang menyaksikan lonjakan sehingga 32.7 peratus.

“Pertumbuhan e-dagang dan platform digital di Malaysia telah memberi peluang untuk peniaga beroperasi, mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan, namun, malangnya, secara tidak langsung, turut merekodkan peningkatan jumlah penipuan dan jenayah siber lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen #TakNakScam dengan kerjasama Facebook Malaysia dan Polis Diraja Malaysia secara maya di sini hari ini.

Rosol berkata, kempen itu bertujuan memberi peluang kepada sektor awam dan sektor swasta untuk bekerjasama meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian dan jenayah siber, menggalakkan lebih banyak penglibatan dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan menerusi Kempen #TakNakScam.

“Kementerian akan terus memainkan peranan aktif termasuk penguatkuasaan undang-undang dan meningkatkan kesedaran pengguna dalam pelbagai forum,” ujarnya.

Kempen #TakNakScam akan berlangsung selama tiga bulan, bermula Julai hingga September depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN