SPRM diminta siasat isu selenggara jalan - Utusan Malaysia

SPRM diminta siasat isu selenggara jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini disyaki ada unsur  penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sehingga mengakibatkan ribuan kontraktor kecil bumiputera gulung tikar. 

Mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang,  Khairuddin A. Rahim mendakwa, perkara terbabit berlaku dalam pemberian kerja di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris)  kepada syarikat yang dilantik kerajaan negeri. 

Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan syarikat berkenaan memonopoli projek konsesi diberikan di bawah Marris sehingga kontraktor-kontraktor kecil lain tidak dapat merasa projek berkaitan.

“Saya mewakili kontraktor pembinaan Johor memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan membabitkan penyalahgunaan kuasa berkaitan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaran jalan di bawah Marris.

“Penyalahgunaan kuasa ini  menyebabkan hak kontraktor kecil dirampas oleh kontraktor besar. Tindakan ini mengakibatkan hampir 3,000 kontraktor kehilangan punca pendapatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairuddin hadir membuat laporan berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat SPRM Johor.

Dalam pada itu, beliau mendesak agar kerajaan negeri mengambil inisiatif serta tindakan segera melaksanakan agenda menyelamatkan kontraktor kecil bumiputera.

“Kita sudah ada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kerajaan tidak perlu membazirkan duit menyalurkan duit kepada syarikat konsesi.

“Dibimbangi akan berlaku penyelewengan dalam pengagihan kerja apabila diserahkan kepada syarikat konsesi. Pasti yang akan jadi mangsa adalah kontraktor kecil Melayu yang terkesan dengan sistem berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Jamaluddin Puteh ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan Khairuddin kira-kira pukul 11.30 pagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya