Empat penjenayah cuba serang polis mati ditembak - Utusan Malaysia

Empat penjenayah cuba serang polis mati ditembak

AYOB Khan Mydin Pitchay (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas selepas menumpaskan empat penjenayah di Jalan Pagoh-Parit Sulong pada sidang akhbar di IPD Batu Pahat, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Polis menembak mati empat penjenayah selepas salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan kepada sepasukan anggota dan pegawai dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong, awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 pagi itu, empat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu pada mulanya ditahan polis selepas menaiki dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seorang pegawai turut cedera ringan di tangan terkena kerambit salah seorang suspek ketika pergelutan berlaku semasa mereka cuba melarikan diri.

Menurut beliau, ketika menghampiri kereta Toyota Avanza untuk membuat pemeriksaan, pemandu kenderaan itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Batu Pahat membalas tembakan tersebut bagi mempertahankan diri sehingga tiada lagi ancaman.

“Pada masa sama, penumpang kenderaan itu dan pemandu serta seorang lagi penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri sambil menyerang polis dengan parang dan pisau kerambit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Batu Pahat, hari ini.

Ayob Khan berkata, keempat-empat lelaki dipercayai warga asing itu berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 40 tahun dan polis masih menyiasat penglibatan mereka dalam kegiatan samun serta pecah masuk premis.

“Kita percaya keempat-empat penjenayah yang ditumpaskan ini terlibat secara aktif dalam kegiatan samun dan pecah masuk premis di sekitar Johor.

“Malah, pemeriksaan terhadap kereta Perodua Myvi itu juga didapati masih dilaporkan hilang di kawasan Seri Alam, Johor Bahru, manakala Toyota Avanza menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver berwarna hitam, empat butir peluru .38, dua bilah parang, satu pisau kerambit dan kedua-dua buah kenderaan itu.

Ujar Ayob Khan, polis turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah masuk premis dan beg pakaian di dalam kedua-dua kereta tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya