PUCHONG: Pendigitalan pengurusan subsidi diesel dan petrol nelayan menerusi aplikasi MyMinyak menjadi langkah strategik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasaran, sekali gus membendung ketirisan dana awam.
Inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan pembelian bahan api, malah mencerminkan usaha reformasi sistem penyampaian agensi berkenaan yang kini melangkah ke usia 55 tahun.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, aplikasi berkenaan membolehkan pengesahan pembeli dilaksanakan dengan lebih sistematik menerusi kaedah imbasan wajah bagi memastikan hanya nelayan berdaftar menikmati kemudahan subsidi.
Menurutnya, isu ketirisan subsidi minyak bukan perkara baharu, justeru penggunaan teknologi digital dilihat sebagai pendekatan proaktif untuk memperketat kawalan serta meningkatkan keberkesanan pemantauan.
Pelaksanaan sistem itu turut disokong proses pengisytiharan hasil tangkapan ikan sebelum nelayan dibenarkan mendapatkan subsidi bahan api.
“Penggunaan aplikasi ini mengurangkan dan meminimumkan ketirisan sebab ia perlu melalui aplikasi.
“Ini akan memastikan nelayan yang benar-benar berdaftar sahaja yang layak untuk membeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena sambutan ulang tahun ke-55 LKIM di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Abdul Salim Tajudin.
Usaha pendigitalan itu turut membuahkan hasil apabila LKIM meraih Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 menerusi projek inovasi pengurusan skim subsidi diesel dan petrol nelayan menggunakan aplikasi MyMinyak.
Pengiktirafan tertinggi itu mencerminkan komitmen LKIM dalam memperkemas urusan pentadbiran serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
Faiz berkata, pengalaman selama 55 tahun mematangkan LKIM untuk terus memperkukuh daya saing dalam menghadapi cabaran industri perikanan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.
“Pengiktirafan Anugerah Platinum RKB 2026 menerusi inisiatif MyMinyak membuktikan komitmen warga LKIM dalam mereformasikan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendigitalan bukan lagi sekadar pilihan sampingan, sebaliknya sudah menjadi teras operasi harian agensi bagi menjamin ketelusan pengurusan, menjaga kebajikan nelayan serta mempertahankan integriti amanah kerajaan.

Dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, LKIM turut mempergiat pembangunan sektor akuakultur bagi meningkatkan pengeluaran ikan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan laut yang semakin terhad.
Faiz berkata, hampir 13 persatuan nelayan di peringkat kawasan dan negeri kini terbabit dalam bidang akuakultur menerusi agenda Satu Persatuan, Satu Produk (1P1P).
Katanya, persatuan nelayan turut dibekalkan latihan, kepakaran dan modal bagi membantu mereka mengembangkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan pendapatan.
Selain itu, pembinaan unjam dan tukun tiruan diperluas bagi menyediakan kawasan pembiakan ikan, sekali gus membantu menambah sumber bekalan dalam negara.
LKIM juga menggalakkan persatuan nelayan meneroka perniagaan hiliran seperti pemprosesan ikan bilis, ikan kering, belacan dan keropok bagi membentuk ekosistem perniagaan menyeluruh daripada pengeluaran hingga pemasaran.
Faiz berkata, kadar sara diri ikan negara kini mencapai 90 peratus, manakala kekurangan bekalan spesies tertentu seperti ikan kembung ditampung menerusi import yang dipantau bagi memastikan bekalan mencukupi. – UTUSAN











