DUNGUN: Telur penyu belimbing dalam dua sarang pertama yang direkodkan di Terengganu tahun ini disahkan tidak bersenyawa selepas pemeriksaan teknikal Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mendapati tiada bukti perkembangan embrio.
Pengesahan itu dibuat menerusi pemeriksaan terhadap Sarang 1 dan Sarang 2 di Pusat Penetasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, masing-masing pada 3 dan 16 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan semula penyu belimbing di pantai Terengganu adalah perkembangan penting kerana membuka peluang untuk mengumpulkan data saintifik berkaitan pembiakan dan keadaan populasi spesies berkenaan.
“Walaupun pemeriksaan Sarang 1 dan 2 menunjukkan telur yang diperiksa tidak bersenyawa, maklumat ini penting dalam usaha memahami perkembangan pembiakan penyu belimbing.
“Pemantauan berterusan dan pengumpulan data saintifik perlu dilaksanakan bagi membantu menilai keadaan populasi spesies ini,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang, di sini.
Dapatan pemeriksaan itu direkodkan dalam Laporan Teknikal Pra-Pemeriksaan Perkembangan Embrio bagi Sarang Penyu Belimbing di Terengganu bertarikh 3 dan 16 Oktober lepasyang disediakan oleh IPP Rantau Abang.
Sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak lima pendaratan persarangan penyu belimbing direkodkan di Terengganu menandakan kemunculan semula spesies berkenaan selepas pendaratan terakhir direkodkan pada 2017.
Pemeriksaan kedua-dua sarang itu dilakukan pada hari ke-30 tempoh pengeraman. Sarang pertama mengandungi 44 biji telur manakala sarang kedua sebanyak 81 biji telur. Sebanyak lima sampel telur daripada setiap sarang dipilih secara rawak untuk diperiksa menggunakan kaedah penggalian separa tanpa pemusnahan.
Hasil pemeriksaan mendapati sampel telur berkenaan mempunyai diameter purata 49.80 milimeter menunjukkan telur itu merupakan telur normal dan bukannya telur kerdil tanpa kuning telur.
Bagaimanapun, pemerhatian pada permukaan cangkerang tidak menemukan tompok putih yang lazim dikaitkan dengan perkembangan awal embrio. Ujian suluhan cahaya turut tidak menunjukkan pembentukan rangkaian saluran darah atau bayangan struktur embrio.
Pemeriksaan juga mendapati perubahan warna telur kepada kehitaman dan kekuningan serta kehadiran mikroorganisma dan belatung, yang menunjukkan berlakunya proses pereputan.
Secara keseluruhan, dapatan itu menyokong kesimpulan teknikal bahawa telur yang diperiksa daripada kedua-dua sarang berkenaan tidak bersenyawa. – UTUSAN









