PETALING JAYA: Suasana sesak seperti dalam filem ‘Train to Busan’ menjadi gambaran kesukaran pengunjung mendapatkan bas selepas menghadiri hari pertama Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Pemerhatian di media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi rakaman orang ramai berkumpul berhampiran bas, selain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pengangkutan acara berkenaan.
Seorang pengguna, @mystoryeverydaytoyou mendakwa jumlah bas tidak mencukupi, manakala barisan menunggu tidak teratur ketika orang ramai bersesak untuk mendapatkan pengangkutan.
Pengguna berkenaan turut mendakwa bas ulang-alik terperangkap dalam kesesakan sehingga mengambil masa berjam-jam untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan jumlah bas yang tersedia di SIC dan lokasi hentian tidak mencukupi.
“Bas tersangkut dalam kesesakan berjam-jam hendak sampai KLIA2. Sila buat laluan khas untuk bas ulang-alik sahaja,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, pengguna tersebut meminta kekerapan perkhidmatan ERL ditambah kerana mendakwa orang ramai beratur panjang di KLIA2 untuk menaiki tren berkenaan.
Sementara itu, pengguna @jonathanding_ mengkritik pengurusan logistik acara tersebut dan meminta pihak penganjur menjalankan penilaian semula.
Dia turut mengingatkan penganjur supaya bersedia menghadapi jumlah pengunjung yang lebih ramai pada hari ini dan esok.
Seorang lagi pengguna, @lehcaloffgod menasihatkan pengunjung yang menghadiri acara pada dua hari berikutnya supaya segera mencari bas selepas tamat acara, susulan pengalaman hari pertama.
Dalam ruangan komen hantaran itu, pengguna @sha.abdulbasit mendakwa ramai pengunjung warga asing berjalan kaki menuju ke Bandar Enstek.
Rakaman yang disertakan dalam hantaran-hantaran berkenaan memperlihatkan orang ramai berkumpul berhampiran bas serta berjalan kaki di kawasan sekitar. – UTUSAN











