Penerbit nafi filem Orang Perang diturunkan, harap penonton beri sokongan - Utusan Malaysia

Penerbit nafi filem Orang Perang diturunkan, harap penonton beri sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit filem Orang Perang, Qhaisharq Abdul Mutalip, tampil menafikan dakwaan kononnya filem tersebut diturunkan daripada jadual tayangan bagi memberi laluan kepada filem lain.

Menjelaskan situasi sebenar, Qhaisharq menegaskan bahawa filem tersebut masih lagi ditayangkan dan sedang mengikut prosedur di bawah Skim Wajib Tayang selama 14 hari yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan bahawa naskhah terbitannya itu sedang berdepan situasi sukar untuk menarik minat penonton ke panggung dalam tempoh empat hari awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Filem ini masih bermain di panggung. Kita berada di bawah Skim Wajib Tayang selama 14 hari, namun saya akui empat hari pertama ini adalah tempoh yang agak mencabar buat Orang Perang.

“Saya mengibaratkan penonton kami seperti ‘peluru’ yang membolehkan kami bertahan untuk terus kekal di panggung.

“Justeru, kami sangat mengharapkan sokongan berterusan daripada orang ramai untuk terus ke pawagam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai naskhah tersebut, Qhaisharq berkata, Orang Perang mempunyai cerita yang menarik mengupas sejarah tanah air yang jarang diceritakan kepada umum.

Katanya, filem tersebut bukanlah sebuah karya fiksyen yang direka secara sengaja, sebaliknya merupakan sebuah perkongsian tulus tentang realiti pahit getir yang pernah dialami negara suatu ketika dahulu.

“Ini bukan cerita yang direka saja-saja, tetapi ia berkongsi kepada penonton tentang apa yang benar-benar pernah terjadi kepada negara kita dahulu. Ia adalah naskhah sejarah yang belum pernah diceritakan di layar perak.

“Silalah berikan sokongan dan bawalah pulang kisah sejarah yang mungkin anda belum pernah dengar sebelum ini,” katanya .

Orang Perang mengisahkan keberanian masyarakat Orang Asli kaum Semai dalam mempertahankan tanah air ketika Tanah Melayu berdepan ancaman komunis pada era 1950-an.

Filem itu dibintangi Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN