KUALA PILAH: Penganjuran Kuala Pilah MTB Heritage Challenge 2026 pada 12 Disember depan di Padang Awam Seri Menanti dijangka merancakkan pelancongan daerah menerusi gabungan sukan berbasikal lasak, keindahan alam dan keunikan warisan tempatan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal binti Mohamed Amin berkata, program bertemakan ‘Exploring Pilah’ itu menyasarkan penyertaan 500 peserta dengan 12 kategori disediakan kepada peminat sukan berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran tersebut menjadi platform memperkenalkan tarikan Kuala Pilah, khususnya Seri Menanti, selain membawa peserta menikmati panorama kawasan berbukit dan suasana perkampungan sepanjang laluan kayuhan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bagi membincangkan penganjuran program tersebut di Pejabat Daerah Kuala Pilah hari ini, 8 Oktober 2026.
Nawal berkata, kehadiran peserta bersama ahli keluarga diharapkan dapat menggalakkan kunjungan ke tarikan pelancongan setempat serta memperkenalkan warisan budaya dan kehidupan masyarakat daerah itu.
Pada masa sama, program tersebut diharap menjana limpahan ekonomi kepada komuniti melalui perbelanjaan pengunjung bagi penginapan, makanan dan pembelian produk tempatan.
Acara yang berlangsung pada hari Sabtu itu menawarkan cabaran kayuhan sejauh kira-kira 35 kilometer melalui jalan raya, kawasan berbukit dan perkampungan, sekali gus menguji ketahanan fizikal peserta.
Hadiah wang tunai hampir RM20,000 disediakan untuk pemenang tempat pertama hingga kelima bagi kategori yang dipertandingkan.
Selain itu, hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000 turut ditawarkan bagi menambah tarikan dan memeriahkan penganjuran.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi pendaftaran awal, manakala kadar biasa ialah RM80.
Pelbagai acara sampingan turut disediakan, antaranya pertandingan memancing, aktiviti memanah, persembahan basikal BMX dan pameran agensi bagi menarik kehadiran keluarga peserta serta orang ramai.
Menurut Nawal, matlamat penganjuran adalah menjadikan Kuala Pilah MTB Heritage Challenge sebagai acara kayuhan tahunan yang selamat, berdaya saing dan memberi impak positif kepada komuniti serta pelancongan daerah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi, komuniti, penaja dan rakan strategik bagi memastikan kejayaan program serta memperkukuh kedudukan Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan, alam dan warisan.











