Keluasan fiqah perlu difahami menyeluruh, tangani persoalan masyarakat dengan bijaksana - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Keluasan fiqah perlu difahami menyeluruh, tangani persoalan masyarakat dengan bijaksana – Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pada Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali keempat dan Wacana Ilmuwan Nusantara tahun ini di Kangar malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keluasan fiqah perlu difahami secara menyeluruh bagi memastikan setiap persoalan masyarakat ditangani dengan bijaksana dan adil serta tepat berlandaskan al-Quran dan sunnah tanpa mengabaikan prinsip serta tuntutan agama.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kefahaman secara menyeluruh itu adalah dengan mengambil kira dalil, asas penetapan hukum, perbezaan pandangan ulama dan realiti semasa.

Baginda bertitah pemahaman fiqah menyeluruh penting untuk masyarakat mendapat panduan agama yang jelas, tepat dan bersesuaian dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh keyakinan umat Islam dalam mengamalkan ajaran agama berasaskan ilmu dan hikmah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan zaman dan teknologi akan terus membuka ruang kepada pelbagai persoalan baharu yang memerlukan penelitian dari sudut fiqah. Oleh itu, kajian ilmiah, perbincangan dan ijtihad perlu terus diperkasakan bagi memastikan setiap persoalan ditangani berasaskan ilmu, hujah yang kukuh dan kefahaman terhadap realiti semasa.

“Masyarakat juga memerlukan penjelasan hukum yang jelas, tepat dan mudah difahami agar dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian,” titah baginda ketika menyempurnakan Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali keempat dan Wacana Ilmuwan Nusantara tahun ini di sini malam tadi.

Persidangan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu bertemakan “Keluasan Fiqah dalam Menangani Cabaran Semasa”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan harapan Perlis terus menjadi medan wacana ilmu yang dinamik dan harmoni berteraskan kefahaman Islam yang menyeluruh serta pendekatan berhikmah.

Mengenai persidangan itu, baginda berharap resolusi dicapai melalui persidangan itu dapat dijadikan panduan kepada pentadbiran negeri, institusi agama, pendidik dan masyarakat.

Selain itu, baginda berharap hasil perbincangan diterjemahkan melalui penulisan, penerbitan dan program ilmu supaya manfaat itu dapat disebarluaskan kepada masyarakat.

“Saya yakin usaha berterusan dalam menyampaikan ilmu agama yang tepat dan mudah difahami mampu melahirkan masyarakat berpengetahuan dan matang dalam menilai sesuatu persoalan serta mengamalkan ajaran Islam dengan penuh kefahaman,” titah baginda. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini