KUALA LUMPUR: Kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan UMNO dan Pas boleh saling menyokong apabila kepentingan ummah diletakkan mengatasi persaingan parti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Pas menghulurkan tangan ketika UMNO pernah dihina dan pendirian parti itu dipersoalkan.
“Sahabat-sahabat kita daripada Pas datang menghulurkan tangan di Johor dan Negeri Sembilan, membuktikan bahawa UMNO dan Pas boleh saling menyokong apabila kepentingan ummah diletakkan mengatasi persaingan parti.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada sahabat kita daripada Pas,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, kerjasama dua kekuatan politik Melayu di Negeri Sembilan turut membuktikan kestabilan boleh diwujudkan apabila kedua-duanya membuka ruang dan bersedia untuk bekerjasama.
Katanya, UMNO dan Pas masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, namun matlamat penyatuan tidak akan tercapai sekiranya kedua-duanya terus bergerak secara berasingan serta saling bertembung.
“Apabila kedua-duanya bergerak dalam satu arah, insya-Allah kita mampu merempuh apa juga cabaran yang berada di hadapan,” katanya.
Menurut beliau, Pemuda UMNO tidak bergerak sendirian, sebaliknya membawa suara rakyat dalam memperjuangkan agenda penyatuan.
Katanya, pergerakan itu sudah konsisten membawa agenda berkenaan sejak tiga tahun lalu ketika seruan penyatuan masih dipandang sinis.
“Pemuda UMNO turut merapatkan saf dalaman dan berani membuka ruang perbincangan yang lebih luas.
“Penyatuan ummah bukan agenda yang hanya dibawa selepas memperoleh kemenangan, sebaliknya jalan yang sudah dirintis lebih awal oleh Pemuda UMNO,” katanya. – UTUSAN










