PUTRAJAYA: Viral bukan lesen untuk langgar undang-undang. Itu nasihat diberikan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komusioner Aidi Sham Mohamed kepada dua pemuda yang melakukan aksi uji kelajuan kereta di Jambatan Putra, baru-baru ini.
Dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 tahun itu berjaya ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam.
Aidi Sham ketika dihubungi berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan malah, dua kereta sebagaimana tular platform Threads turut disita.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan video tular memaparkan dua kenderaan dipandu secara berbahaya di kawasan Jambatan Putra sehingga mengundang perhatian orang ramai.
“Jangan jadikan jalan raya sebagai pentas mengejar populariti. Keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain bukan bahan untuk kandungan media sosial.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua individu berada di lokasi itu bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial serta tidak bertujuan untuk berlumba,” katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan dipandunya telah tamat tempoh.
Aidi Sham berkata, kedua-dua individu turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan berkaitan pengubahsuaian kenderaan.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










