TH perkenal sistem giliran haji automatik

TH perkenal sistem giliran haji automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah yang membolehkan pendeposit mendapat giliran menunaikan haji secara automatik apabila mencapai baki simpanan minimum RM15,000.

Pendekatan baharu itu akan menggantikan proses pendaftaran dan pengurusan giliran Haji sedia ada, namun masih mengekalkan prinsip siapa dahulu, didahulukan.

TH berkata, pendeposit yang telah berdaftar haji diberi tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000.

“Bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000.

“Pendekatan itu bertujuan mewujudkan proses pengurusan giliran haji yang lebih mudah, adil dan lancar, selain mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran Haji sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan ibadah berkenaan manakala kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang.

“Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 mula diperkenalkan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji dan langkah itu menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding purata hampir 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, TH akan memperkenalkan kemudahan Multi Tabung yang membolehkan pendeposit mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.

“Tabung Am kekal sebagai tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran, manakala Tabung Istito’ah diwujudkan khusus untuk membantu pendeposit menyimpan secara sukarela dan berdisiplin bagi persediaan menunaikan Haji,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pelan berkenaan diperkenalkan susulan maklum balas pendeposit yang mahukan garis panduan lebih jelas serta laluan persediaan yang lebih tersusun.

“Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun. Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan.

“Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelan itu dirangka bagi membantu umat Islam membuat persediaan kewangan, fizikal dan rohani secara lebih sistematik.

Katanya, TH turut memperkenalkan Tabung Istito’ah mulai 19 September ini yang bertujuan membantu pendeposit membentuk disiplin simpanan secara lebih terancang dan berfokus.

“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain untuk memulakan perancangan lebih awal.

“Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×