MELAKA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan membuat keputusan terbaik berhubung kerjasama parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Ahmad Zahid berkata, keputusan tersebut akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan masa depan negeri Melaka, selain memastikan kerjasama yang dibentuk mampu memberikan kemenangan kepada gabungan berkenaan seperti mana berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
“Saya tahu suara anak muda di Melaka mahukan siapa. Saya tahu penduduk Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa.
“Tiba masanya nanti, saya tahu keputusan yang terbaik yang akan saya buat demi kepentingan Melaka,” katanya merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka Jom Heboh 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi BN itu berkata, beliau memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk memilih rakan kerjasama politik yang setia, ikhlas dan mampu membawa kemenangan dalam PRN akan datang.
“Datuk Rauf! saya beri mandat. Pilih partner yang setia. Pilih partner yang boleh memberikan kemenangan kepada kita. Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita.
“Pilih partner yang bercakap di belakang sama, di depan sama. Bukan partner yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan supaya rundingan berkaitan pembahagian kerusi dibuat dengan baik serta mengambil kira kepentingan rakyat Melaka.
“Datuk Rauf, berunding dengan elok. Jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi. Yang tujuh kerusi lagi, tidak apa kita serah kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, walaupun perkara itu dilihat mempunyai unsur politik, ia sebenarnya berkait rapat dengan masa depan anak muda dan rakyat negeri Melaka.
“Ini bukan kempen politik. Ini kempen anak muda sebab anak muda yang akan menentukan bangun jatuhnya negeri Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid pada masa sama menyatakan keyakinannya bahawa sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ab Rauf terus kukuh susulan pendekatan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut memuji pencapaian kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda, dengan menyifatkan kadar pengangguran Melaka sekitar 1.6 peratus sebagai antara yang terendah di negara ini.
Katanya, pencapaian itu tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil perancangan kerajaan negeri bersama barisan Exco, wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru semua pihak supaya terus merangkul masyarakat daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang bagi memastikan kestabilan serta kesinambungan pentadbiran negeri Melaka.
Beliau berkata, prinsip kerjasama perlu berasaskan kepentingan bersama dan tidak seharusnya dipengaruhi permusuhan politik.
“Kita rangkul, kita peluk, kita dekatkan semua bangsa, semua agama, semua latar belakang, semua golongan di Melaka. Insya-Allah, kerajaan Melaka yang sekarang dan akan memberikan kesinambungan akan menyantuni seluruh golongan di Melaka yang berbagai-bagai,” katanya. – UTUSAN
Captions
PIX4/ PIX5
Ahmad Zahid Hamidi merasmikan penutup Karnival Anak Muda Melaka Jom Heboh 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. – UTUSAN/AMRAN MULUP
HABIS…./










