Penyatuan Pas-UMNO boleh gugat dominasi PH

Penyatuan Pas-UMNO boleh gugat dominasi PH

ISKANDAR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama Pas dan UMNO di bawah penyatuan ummah berpotensi mengubah landskap politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya kedua-dua parti berjaya menyatukan sokongan pengundi Melayu.

Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, penyatuan sokongan berkenaan dilihat mampu memberi tekanan besar kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menjadikan agenda penyatuan ummah antara perkara utama diberi perhatian dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72.

“Bagaimanapun, hubungan Pas dan UMNO ketika ini lebih kepada kerjasama serta persefahaman dan bukannya untuk membentuk gabungan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, usul penyatuan ummah dijangka menjadi antara agenda utama diketengahkan dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan bermula 4 September ini.

Iskandar berkata, soal siapa yang mengetuai kerjasama penyatuan ummah antara Pas dan UMNO bukan perkara utama, sebaliknya yang lebih penting ialah kedua-dua parti mencapai persefahaman demi merealisasikan agenda berkenaan.

“Terdapat kemungkinan pihak tertentu cuba menggesa Pas atau UMNO untuk memimpin kerjasama berkenaan sehingga mencetuskan perselisihan antara kedua-dua parti dan akhirnya menggagalkan usaha penyatuan. 

“Jika itu berlaku, akhirnya PH yang akan mendapat keuntungan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan Pas sudah tidak lagi bergantung kepada Bersatu susulan perkembangan politik semasa yang menunjukkan keretakan gabungan berkenaan.

“Pada saya Bersatu tidak ada pilihan kecuali menyertai PH kerana tidak mungkin Bersatu kekal bersama PN setelah menentang PN pada PRN Negeri Sembilan lalu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini