IPOH: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, 38, dipilih sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak, selepas mendapat undi majoriti oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perkara itu diputuskan menerusi undian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Mohamad Hairul Amir berjaya mendapat 33 undi ADUN mengatasi calon cadangan pembangkang, Zulkifli Zakaria yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama Pas Perak.
Daripada segi pecahan 59 kerusi DUN di Perak ketika ini, Pakatan Harapan (PH) mempunyai 24 kerusi, Barisan Nasional (BN) sembilan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 26 kerusi.
Pemilihan beliau itu dilihat sebagai menggantikan pemimpin PH, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang mewakili Perak dari Mei 2023 hingga Mei 2026.
Seorang lagi Ahli Dewan Negara mewakili Perak ialah Ketua Bahagian UMNO Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd. Ghaffar yang dilantik sejak Disember 2021 dan disambung untuk tiga tahun lagi bermula Disember 2024.
Sementara itu semasa sidang akhbar, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berkata, keputusan pengundian tersebut tidak seharusnya menjejaskan usaha ke arah penyatuan ummah antara Pas dan UMNO.
“Kami menegaskan bahawa pintu penyatuan ummah tidak pernah tertutup. Usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti Melayu dan Islam khususnya Pas dan UMNO perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN










