Masjid baharu Sungai Udang mampu tampung 1,500 jemaah

Masjid baharu Sungai Udang mampu tampung 1,500 jemaah

AB. Rauf Yusoh dan Rais Yasin (tiga dari kiri) melakukan majlis pecah tanah pembinaan masjid baharu Sungai Udang Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang dan Majlis Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita di Seri Bertam, Sungai Udang, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk di enam taman perumahan di Sungai Udang bakal menikmati kemudahan sebuah masjid baharu berkapasiti 1,500 jemaah yang dijangka mula dibina hujung tahun ini.

Masjid yang bakal dibina di Taman Desa Bertam itu merupakan antara projek kebajikan hasil sumbangan Malakoff Corporation Berhad menerusi Yayasan Al-Bukhary, sekali gus memberi kemudahan kepada kira-kira 8,000 hingga 9,000 penduduk Islam di kawasan berkenaan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 18 bulan.

Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan masjid itu amat dinantikan penduduk berikutan sebelum ini mereka terpaksa menyeberangi Lebuh Raya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Bertam Hulu.

Beliau yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, selain Masjid Bertam Hulu yang juga sudah berusia, sebahagian penduduk turut menggunakan Masjid Tanpa Karya di Penjara Sungai Udang bagi menunaikan solat Jumaat.

“Ini adalah satu pencapaian dan kerja amal kebajikan yang sangat baik. Bagi pihak kerajaan negeri, kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Malakoff dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Yang lebih penting, projek ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk Islam di enam taman yang berkongsi kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang dan Majlis Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di tapak Masjid Kariah Seri Bertam, Sungai Udang, di sini hari ini.

Rais berkata, enam taman perumahan yang bakal mendapat manfaat daripada pembinaan masjid berkenaan ialah Taman Desa Bertam, Taman Bertam Height, Taman Sri Bertam, Bertam Impian, Taman Bertam Setia dan Taman Bertam Putra.

Menurutnya, projek tersebut sebelum ini mengambil masa agak panjang untuk direalisasikan, namun hasil komitmen kerajaan negeri serta pihak berkaitan, kerja-kerja tanah kini telah selesai dan pembinaan dijangka dimulakan hujung tahun ini.

“Di bawah pentadbiran kerajaan negeri, kita menggesa supaya projek ini dicepatkan. Alhamdulillah, sekarang kerja tanah telah selesai dan proses pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap sekitar tahun 2029,” ujarnya.

Beliau berkata, pembinaan masjid baharu itu juga membuktikan kerja-kerja kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan bermusim, sebaliknya telah dirancang dan dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, yang meluangkan masa menghadiri program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat walaupun mempunyai jadual padat selepas mengendalikan pelbagai program besar di negeri ini.

Katanya, program berkenaan turut melibatkan enam lokasi atau ‘checkpoint’, termasuk majlis pecah tanah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Sungai Udang yang menurutnya telah dinantikan penduduk selama kira-kira 20 tahun.

“Program hari ini memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk melihat sendiri keperluan rakyat dan menyelesaikan projek yang telah lama dinantikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×