PETALING JAYA: Kepulangan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) selepas melaksanakan operasi pencarian di Nepal tidak sepatutnya dijadikan noktah kepada usaha mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih belum diketahui nasib mereka.
Sebaliknya, keluarga mangsa mahu kerajaan memperjelaskan tindakan susulan selepas tamatnya penugasan SMART termasuk bagaimana Malaysia akan meneruskan sokongan dan penyelarasan operasi bagi mengesan mereka yang masih hilang.
Abang kepada R. Komathi, Dr. R. Manivannan berkata, keluarga menuntut penjelasan terperinci mengenai operasi yang dilaksanakan SMART bersama pihak berkuasa Nepal khususnya lokasi yang telah diperiksa, kaedah pencarian digunakan, hasil yang diperoleh serta kawasan yang masih belum diterokai.
Menurut mereka, maklumat berkenaan penting bagi memastikan tiada kawasan berpotensi yang terlepas daripada perhatian terutama tiga kawasan keutamaan yang dikenal pasti berdasarkan maklumat lokasi terakhir rakyat Malaysia terbabit.
“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada ketiga-tiga kawasan berkenaan benar-benar telah dicari sepenuhnya oleh SMART dan pihak berkuasa Nepal.
“Jika terdapat kawasan yang belum diperiksa, keluarga mahu mengetahui sebabnya serta sama ada pencarian susulan akan dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, selepas SMART kembali ke Malaysia, kerajaan perlu mempunyai pelan operasi yang jelas dan boleh difahami waris.
Jelasnya, keluarga mahu mengetahui siapa yang akan meneruskan usaha pencarian, bagaimana maklumat baharu akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan apakah bentuk koordinasi Malaysia dengan Nepal serta China, Tibet selepas ini.
“Pada masa sama, Malaysia perlu memperhebatkan kerjasama dengan Nepal dan China khususnya dalam mendapatkan rekod imigresen, maklumat lintasan sempadan, rekod individu tidak dikenal pasti, penemuan mayat serta maklumat lokasi terakhir mangsa.
“Perhatian khusus juga perlu diberikan terhadap laporan mengenai tiga rakyat Malaysia yang dikatakan disahkan telah melintasi imigresen Tibet kerana maklumat berkenaan berpotensi menjadi petunjuk penting dalam usaha mengesan mereka,” jelasnya.
- Manivannan turut mahu kerajaan memberi penjelasan menyeluruh mengenai proses forensik dan pengenalpastian termasuk penggunaan padanan DNA, rekod imigresen, maklumat sempadan serta rekod individu atau mayat yang belum dikenal pasti.
“Semakan itu perlu menilai sama ada saluran diplomatik dan politik tertinggi yang sewajarnya dengan Nepal dan China telah dipertimbangkan serta digunakan pada peringkat awal.
“Ia bukan bertujuan mencari salah atau menghukum mana-mana pihak.
“Sebaliknya, ia perlu menentukan sama ada terdapat peluang atau langkah yang boleh dilakukan lebih awal dan memastikan kelemahan yang dikenal pasti tidak berulang pada masa depan,” tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, keluarga mahu kerajaan mewujudkan protokol komunikasi yang memastikan perkembangan penting mengenai rakyat Malaysia yang hilang disampaikan kepada waris dengan segera.
“Kepulangan SMART bukan jawapan. Tiada jejak ditemui juga bukan jawapan sebaliknya kami mahukan fakta, ketelusan dan penyelarasan yang jelas.
“Kami tidak meminta kerajaan menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dijamin. Ini bukan soal layanan istimewa.
“Tetapi ini soal 55 nyawa rakyat Malaysia yang berhak menerima perhatian dan usaha bersungguh-sungguh daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN










