SHAH ALAM: Kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka akan dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Anwar berkata, semakan dan kajian bagi pelarisan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.
Katanya, pelarasan tersebut dijangka dapat meredakan kebimbangan terhadap jurang pendapatan yang ketara dan disifatkan tidak adil dalam pelbagai peringkat terutama bagi graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, negara masih berdepan dengan masalah keadilan dalam pemberian gaji terutama apabila terdapat syarikat yang mencatatkan keuntungan sehingga berbilion ringgit, namun peningkatan gaji tidak seiring dengannya.
“Masalahnya kita sudah naikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan sekarang RM1,700 iaitu minimum untuk sektor swasta. Kadar upah di Malaysia, produktiviti meningkat tetapi kadar upah meningkat sangat rendah. Kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit.
“Sejak saya jadi Perdana Menteri, saya tukar fokus itu, kadang-kadang bonus untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), lapan bulan, pekerja bawahan (pula) dua bulan.
“Tak setuju, saya patahkan sikap itu, kalau bonus tiga bulan, CEO pun tiga bulan, pekerja tukang angkat sampah pun sama. Sebab, gaji CEO RM40,000 yang tukang angkat sampah pula RM2,000, sudahlah gajinya berbeza,” katanya dalam forum pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Adib Hazim Mohamad Razali dalam forum tersebut melontarkan persoalan berkenaan dengan kebolehpasaran graduan dan kebimbangan terhadap mereka yang akhirnya bekerja di luar kelayakan akademi.
Jelas Anwar, gaji minimum bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM3,100 sudah pun ditetapkan sejak tahun lalu dan langkah itu sewajarnya menjadi penanda aras bagi sektor swasta.
Bagaimanapun, beliau mendakwa masih tidak berpuas hati dengan syarikat-syarikat besar apabila mencatatkan keuntungan yang sangat tinggi dan seharusnya turut meningkatkan kadar upah pekerja.
“Saya pernah buat kajian dahulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah di Korea Selatan. Negara itu produktiviti tinggi, upah pun ikut. Walaupun tidak sama, tetapi meningkat dari kadar upah (asal).
“Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tetapi kadar upah itu meningkat sangat rendah. Jadi, terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit. Kalau pendapatan berbilion, gaji pekerja masih RM1,700, kita raise the floor,” tegasnya.
Kata Anwar lagi, kadar upah yang adil sudah pun dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan apabila menaikkan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah iaitu sehingga 33 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus bagi gred-gred tinggi. – UTUSAN










