Jasa lama tidak cukup untuk rakyat kembali percaya UMNO - Utusan Malaysia

Jasa lama tidak cukup untuk rakyat kembali percaya UMNO

NORAINI Ahmad ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada jasa dan sumbangan masa lalu untuk meraih semula kepercayaan rakyat. 

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sejarah perjuangan dan jasa terdahulu sahaja tidak memadai untuk meyakinkan rakyat agar kembali memberikan kepercayaan kepada parti itu.

“Kita tidak boleh berkata kepada rakyat, percayalah kepada kita hanya kerana kita pernah berjasa.

“Jasa semalam memberikan kita sejarah. Kerja hari ini memberikan kita kepercayaan.

“Sebab itu, kita mesti memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya kepada kita,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Noraini, kepercayaan rakyat tidak boleh dipaksa, dibeli atau dituntut, sebaliknya perlu dibina melalui keyakinan bahawa UMNO benar-benar memahami keresahan dan kepentingan mereka.

“Mereka mesti percaya bahawa kita memahami keresahan mereka. Mereka mesti percaya bahawa kita sanggup membela kepentingan mereka.

“Dan mereka mesti percaya bahawa UMNO mempunyai jawapan untuk masa depan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kemenangan UMNO juga tidak seharusnya berlaku hanya kerana rakyat marah kepada pihak lain atau lawan melakukan kesilapan.

“Wanita tidak mahu UMNO menang hanya kerana rakyat marah kepada orang lain atau kerana lawan melakukan kesilapan.

“Saya mahu kita menang kerana rakyat kembali percaya kepada kita,” katanya.

Noraini berkata, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan UMNO dan BN mampu menang apabila parti bersatu, bekerja serta percaya kepada perjuangan.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan itu tidak boleh menjadi alasan untuk parti berasa selesa kerana semakin besar kemenangan, semakin besar amanah yang perlu dipikul.

“Johor memberikan keyakinan. Negeri Sembilan memberikan momentum. Melaka mesti memberikan isyarat.

“Sekarang kita mesti memenangi sesuatu yang jauh lebih sukar. Bukan hanya Gelombang Biru. Kita harus memenangi kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×