KUALA LUMPUR: Sebarang perbincangan mengenai pembentukan kerjasama politik dan formula pembahagian kerusi termasuk antara Pas dan UMNO perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh bukannya secara terburu-buru.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara tersebut perlu diselesaikan di peringkat kepimpinan utama parti demi memastikan matlamat permuafakatan dapat dicapai.
Malah katanya, ia juga bagi mengelakkan sebarang kerumitan seandainya perkara tersebut dibincangkan secara terbuka dalam kalangan pemimpin antara kedua-dua parti.
“Kalau nak bergabung, biarlah kedua-dua presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Abdul Hadi Awang berbincang. Jangan rumitkan keadaan. Lambat lagi pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perasmian Bangunan Chinatown 1974 di sini hari ini.
Abdul Hadi sebelum ini berkata, parti itu akan mempertahankan setiap kerusi termasuk negeri yang telah dimenangi dalam pilihan raya lalu.
Beliau berkata, Pas menjadikan penyatuan ummah sebagai antara agenda utama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan Melayu dan Islam. – UTUSAN










