PETALING JAYA: Jabatan Penjara menafikan terdapat layanan berbeza yang diberikan kepada bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Jabatan itu berkata, pertimbangan mengenai pembebasan Peter melalui program PBSL dibuat selepas beliau mencapai tempoh kelayakan ditetapkan.
Menurutnya, Peter sudah melalui proses tapisan dan penilaian sebagaimana yang dikenakan terhadap prospek lain yang dipertimbangkan bagi program PBSL.
“Pelepasan beliau melalui PBSL dengan itu tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah diketepikan.
“Sebaliknya, beliau terus menjalani baki tempoh hukuman dalam komuniti dan kekal tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, isu pembebasan Peter kembali menjadi perhatian minggu ini susulan perdebatan mengenai permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan layanan berbeza dengan mempersoalkan mengapa tiada bantahan sama ketika Peter dibenarkan menjalani baki hukuman di luar penjara.
Jabatan Penjara menegaskan, PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang.
Jelasnya, status individu bukan kriteria yang memberikan kelebihan atau pengecualian daripada proses kelayakan dan penilaian yang ditetapkan.
“Pelaksanaan PBSL berteraskan prinsip Pemulihan Dalam Komuniti yang mengimbangi kepentingan keselamatan awam, pemulihan individu, pengawasan serta persediaan untuk reintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.
“Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada proses pemulihan dalam sistem koreksional dan tidak mengubah atau mengetepikan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, dakwaan bahawa pelepasan melalui PBSL diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat.
“Setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan, manakala prospek yang diberikan PBSL kekal tertakluk kepada pengawasan sehingga selesai menjalani baki tempoh hukumannya,” katanya. – UTUSAN










