Dakwaan pembabitan AS: Itu kenyataan Hadi – Zambry

Dakwaan pembabitan AS: Itu kenyataan Hadi – Zambry

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai perbualannya dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, kenyataan itu merupakan perkara yang dinyatakan sendiri Abdul Hadi dan terpulang kepada setiap pihak untuk mempersoalkan atau menilainya berdasarkan pendirian masing-masing.

“Itu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru sendiri berkaitan dengan apa yang mereka alami.

“Jadi di peringkat kita untuk mengiyakan atau menafikan kerana perbualan itu berlaku di antara beliau dengan pihak berkuasa Amerika pada waktu itu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau memahami kenyataan berkenaan mengundang pelbagai kontroversi termasuk desakan supaya bukti dikemukakan berhubung dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Abdul Hadi sendiri telah menjelaskan perkara berkenaan dan beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenainya.

“Dia telah menyatakan, itulah yang dia nyatakan. Soal yang nak mempersoalkan itu soal masing-masing punya pendirian,” katanya.

Menurut Zambry, kenyataan berkenaan sekurang-kurangnya memberi gambaran kepada rakyat mengenai perkara yang berlaku dan tidak wajar dipandang ringan.

“Apabila beliau menyatakan begitu, setidak-tidaknya rakyat tahulah tentang apa yang berlaku dan kita tidak boleh mengambil mudah politik dalam negara kita ini.

“Kita kena lihat daripada pelbagai perkara, pelbagai sudut pandang dan pelbagai cerita yang berlaku di mana Malaysia itu terdedah kepada pelbagai kemungkinan,” katanya.

Sebelum ini, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia serta menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr. berkata, AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi mendakwa pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×