PETALING JAYA: Seorang wanita merayu bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau saksi kemalangan membabitkan keluarganya di Kilometer 440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang, awal pagi semalam, tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 hingga 4.30 pagi, dia lima beranak dalam perjalanan pulang dari Perlis ke Cheras, sebelum kenderaan dinaiki dilanggar dari belakang.
Kemalangan menyebabkan suaminya parah patah tulang leher, sementara seorang anaknya patah tangan dan kaki serta perlu menjalani pembedahan.
Isteri bangsa, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, berkata, dia memerlukan bantuan orang ramai atau saksi bagi membolehkan laporan polis dibuat.
Katanya, ketika kejadian, suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf Tengku Sallehuddin, 34, memandu kenderaan berkenaan dan mereka dijangka sampai di rumah kira-kira 45 minit lagi sebelum dilanggar dari arah belakang.
“Ketika itu kami berada di lorong tengah sebelum ada kenderaan melanggar kami dari belakang. Suami saya patah tulang leher, manakala anak kedua patah tangan dan kaki serta perlu menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nurul Faiqah, suaminya bekas wartawan Kosmo! kini dirawat di Hospital Sungai Buloh di zon merah manakala pembedahan anak keduanya dijalankan hari ini.
Katanya, dia tidak pasti sama ada pemandu kenderaan terbabit telah membuat laporan polis atau sebaliknya.
“Kami mahu membuat laporan dan berharap sesiapa yang ada rakaman dashcam ketika kejadian dapat membantu,” katanya.
Semantara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Hussin berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN










