Buat drama bukan untuk tular - Eyra Rahman - Utusan Malaysia

Buat drama bukan untuk tular – Eyra Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah, Eyra Rahman memohon maaf kepada penonton drama Bulan Henti Bicara kerana terlepas pandang akan beberapa kelemahan dalam drama tersebut.

Eyra berharap penonton tidak sekadar menilai drama tersebut berdasarkan klip yang tular di media sosial, sebaliknya mengikuti keseluruhan jalan cerita.

“Kami tidak sempurna, ada kekhilafan yang kami terlepas pandang.

“Kadang kami mengejar masa kerana perlu menyiapkan drama ini mengikut tempoh yang diberikan.

“Cuma saya berharap penonton melihat yang sempurna dan tidak mengangkat kelemahan drama ini,” katanya ketika watch Party episod ke 27 drama berkenaan, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial apabila pelakonnya, Ezzanie Jasnie yang melakonkan watak Zulfa, menggerakan tangan sewaktu melakonkan babak koma dalam drama berkenaan.

Eyra memaklumkan kelemahan itu bukan perkara disengajakan untuk memancing perhatian masyarakat agar menonton drama berkenaan.

“Saya tidak membuat cerita untuk tular. Niat saya hanyalah untuk menghasilkan naskhah terbaik.

“Dan pada masa yang sama saya mahu menghasilkan karya berlainan untuk dipersembahkan kepada penonton,” katanya lagi.

Bercakap soal kekuatan, Eyra mengaku drama tersebut memiliki jalan cerita yang membuatkan audiens terus bercakap mengenainya.

“Sebagai pengarah, apabila diberikan naskhah, kita kena cari kekuatan yang ada di dalamnya.

“Itu penting supaya orang akan terus bercerita mengenai karya tersebut.

“Dalam Bulan Henti Bicara, terlalu banyak perkara yang boleh diambil sebagai teladan. Contoh Jamali, karakter antagonis yang disukai penonton, manakala watak yang baik pula dikecam penonton,” ujarnya.

Disoal sama ada merancang untuk menghasilkan musim kedua, Eyra memaklumkan perkara itu belum dibincangkan lagi.

“Tapi jika ada rezeki, Insya-Allah kami akan buat Bulan Henti Bicara musim kedua.

“Yang penting, jika ada kedua, ianya perlu diceritakan dengan cara yang berbeza.

“Ini kerana kebiasaannya, sambutan untuk musim kedua atau ketiga menurun berbanding yang pertama.

“Jadi yang kedua perlu lebih baik berbanding yang pertama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Eyra berpandangan kemenjadian Bulan Henti Bicara merupakan hasil usaha seluruh tenaga produksi drama tersebut.

“Ini semua takdir dan rezeki yang Allah tentukan. Saya tak tidak dapat menjangkakan sejauh mana karya saya akan pergi.

“Apa pun, seperti karya-karya saya sebelumnya, saya cuba yang terbaik.

“Ini bukan usaha saya seorang, tetapi hasil kerja keras seluruh produksi Bulan Henti Bicara,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×