Amaran Akmal, wakil rakyat Pemuda UMNO malas bekerja tidak akan dicalonkan 

Amaran Akmal, wakil rakyat Pemuda UMNO malas bekerja tidak akan dicalonkan 

MUHAMMAD Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO yang mengutamakan kepentingan diri, malas bekerja atau sukar ditemui rakyat, berdepan kemungkinan tidak lagi dicalonkan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap wakil rakyat daripada pergerakan itu yang gagal meletakkan kepentingan parti dan perjuangan bersama sebagai keutamaan.

“Saya hendak tegur kepada wakil rakyat Pemuda, dan saya ingatkan kepada wakil rakyat Pemuda, tiada apa yang lebih penting daripada perjuangan parti keramat kita yang ada pada hari ini.

“Saya tegas, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan), jika ada mana-mana wakil rakyat daripada Pemuda kepentingannya melebihi kepentingan parti, maka saya tak teragak-agak untuk tidak mencalonkannya pada pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohd. Hasnol Ayub dan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah; Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dr. Akmal berkata, wakil rakyat Pemuda juga perlu menyedari bahawa kedudukan yang disandang bukan kerana kehebatan diri sendiri, sebaliknya hasil sokongan dan usaha rakan-rakan parti.

“Jika ada wakil rakyat kita yang tak bekerja, jika ada wakil rakyat kita yang malas, jika ada wakil rakyat kita yang susah angkat call, balas WhatsApp, tolong beritahu, kita akan pastikan dia tidak tercalon lagi pada yang akan datang.

“Dan jika ada wakil rakyat yang takut hendak bercakap soal perjuangan parti, tolong beritahu, saya pasti akan ‘kerjakan’ wakil rakyat itu habis-habisan kalau dia takut,” katanya.

Dr. Akmal berkata, menjadi wakil rakyat bukan sekadar membawa kepentingan diri, sebaliknya perlu membawa hasrat dan perjuangan parti selain melaksanakan amanah kepada rakyat.

“Jadi kepada wakil rakyat, daripada Pemuda, saya bagi amaran keras. Kamu tidak perform (kurang berprestasi). Sekali lagi saya hendak ingatkan, jawatan itu bukan milik kamu. Jawatan itu milik rakyat yang berada dekat kamu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan 11 wakil rakyat Pemuda yang ada ketika ini supaya tidak bersikap sombong atau melupakan rakan-rakan yang membantu mereka sehingga berjaya memegang jawatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×