KUALA LUMPUR: 3,000 peserta membanjiri Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati bagi menjayakan Hatimurni Berselawat & Hari Apresiasi Pelajar 2026, sebuah program yang menghimpunkan warga Hatimurni, Ibu bapa, anak-anak serta masyarakat dalam suasana penuh selawat, ilmu dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Penganjuran program ini membawa satu aspirasi iaitu bukan sekadar menganjurkan sebuah majlis berselawat, tetapi mengajak keluarga Muslim untuk kembali menghidupkan selawat, kecintaan kepada Rasulullah SAW serta pendidikan agama bermula dari rumah.
Hatimurni Berselawat 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha Hatimurni menerapkan pendidikan Islam melangkaui bilik darjah dengan menghubungkan sekolah, guru, pelajar, Ibu bapa dan masyarakat dalam satu ekosistem pendidikan.

Pengasas Hatimurni Islamic Private Education Centre, Ustazah Siti Khadijah Binti Mohni, berkata sambutan daripada kira-kira 3,000 peserta yang hadir membawa makna yang sangat besar kepada Hatimurni selepas hampir dua dekad bergerak dalam bidang pendidikan Islam.
“Alhamdulillah, melihat 3,000 hadirin berkumpul dengan keluarga dan anak-anak untuk berselawat kepada Rasulullah SAW adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati kami.
“Dari awal lagi, hasrat Hatimurni bukan sekadar mahu menganjurkan sebuah program yang besar. Kami mahu keluarga yang hadir membawa pulang pengalaman ini dan mudah-mudahan selawat terus hidup di rumah masing-masing.
“Program mungkin berakhir hari ini, tetapi kami berharap selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak berhenti di sini,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan anak-anak tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, pendidikan perlu berjalan seiring dengan pembentukan jiwa, adab, akhlak serta hubungan anak-anak dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Kami tak nak anak-anak sekadar belajar agama. Kami nak mereka faham agama, cintakan Al-Quran, ada adab dan mampu praktikkan ilmu dalam kehidupan,” katanya.
Majlis yang berlangsung sejak pagi itu diisi dengan pelbagai pengisian termasuk selawat, qasidah, maulid dan tausiyah, sekali gus mewujudkan suasana yang menghubungkan ilmu, kekeluargaan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Program dikendalikan oleh Daie Fuad sebagai pengacara majlis dan dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Pengarah Hatimurni.
Majlis Hatimurni Berselawat pada sebelah pagi telah dirasmikan oleh Ustaz Mohd Abdul Salam Bin Mat Kasim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Antara tetamu, rakan strategik dan pengisi program yang bersama-sama memeriahkan majlis ialah Prof. Dato’ Dr. Ustaz Mohd Izhar Ariff; Kumpulan Qasidah Al Busyro; Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Pengarah Hatimurni; Daie Fuad; Ustaz Sapie Sabilan dari Universiti Islam Selangor (UIS), rakan strategik dalam pembangunan dan bimbingan guru Hatimurni; Ustaz Azman Bin Mohd Lana dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); serta En. Nor Helmi Bin Hamdan dari KOBIMBING.
Kehadiran ribuan Ibu bapa bersama anak-anak turut menjadikan program ini sebuah pengalaman kekeluargaan yang membawa mesej bahawa pendidikan agama bukan hanya berlaku di sekolah, malah perlu terus dihidupkan dalam kehidupan seharian.










