PETALING JAYA: Penggunaan kata-kata kesat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu premis perjudian, bukan sekadar serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, Mahkamah Persekutuan telah memuktamadkan keputusan berhubung sempadan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beliau kesal dengan laras bahasa seperti ‘celaka’ dan ‘pelak’ yang digunakan Muhammad Sanusi berhubung isu berkenaan.
Ujarnya, umat Islam sememangnya tidak menyokong amalan perjudian yang jelas dilarang agama.
“Tindakan dan caci maki tersebut hakikatnya bukan sekadar serangan ke atas Perdana Menteri tetapi ia jelas merupakan satu penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan kemuliaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, keputusan itu dibuat secara bebas tanpa campur tangan badan eksekutif.
“Justeru, isu perundangan ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen dan emosi rakyat di pentas ceramah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Kerajaan Negeri Kedah benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan perkara itu, Muhammad Sanusi wajar bertindak secara profesional dengan meminta Penasihat Undang-undang Negeri Kedah menyemak semula sempadan bidang kuasa dan perundangan secara teratur berlandaskan lunas yang sah.
Katanya, Muhammad Sanusi wajar menunjukkan teladan kepemimpinan Islam dengan menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak yang mencemarkan imej agama.
“Mengkritik dan menjadi semak dan imbang adalah tugas pembangkang. Namun, ia wajib dilakukan berlandaskan fakta, dasar dan kewarasan akal, bukannya melalui caci maki yang menghina keputusan institusi mahkamah tertinggi dan Perlembagaan negara,” katanya.-UTUSAN











