Sektor automotif negara perlu melangkaui pemasangan kenderaan - Utusan Malaysia

Sektor automotif negara perlu melangkaui pemasangan kenderaan

SIM Tze Tzin menerima cenderamata daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdhings bhd Datuk Abdul Rashid Musa ketika melawat tapak pameran Proton pada Majlis Pelancaran Ekspo Teknologi Automotif Global 2026 (GATE 2026) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir, Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Dr Aminar Rashid Salleh. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor automotif negara perlu melangkaui aktiviti pemasangan kenderaan semata-mata bagi memastikan industri itu terus menjadi pemacu ekonomi bernilai tinggi, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, Malaysia sedang beralih daripada aktiviti pemasangan tradisional kepada hab serantau bernilai tinggi dalam bidang inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan termaju.

“Sektor automotif memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti bernilai tinggi, meningkatkan keupayaan vendor tempatan, memperkukuh keupayaan kejuruteraan domestik dan mempercepatkan pemindahan teknologi dalam ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk mencapai visi ini, sektor automotif kita mestilah lebih daripada sekadar pemasangan kenderaan,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Ekspo Automotif dan Teknologi Global (GATE) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Tze Tzin berkata, industri automotif Malaysia kekal sebagai antara tonggak utama ekonomi negara dengan sumbangan kira-kira RM82 bilion atau lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, sektor berkenaan turut disokong lebih 730 syarikat dalam rantaian bekalan dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 700,000 tenaga kerja.

“Dari segi pasaran automotif, jumlah volum industri (TIV) Malaysia untuk 2025 mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 820,752 unit, melepasi paras 800,000 unit selama dua tahun berturut-turut.

“Berdasarkan momentum ini hingga separuh pertama 2026, jumlah jualan kenderaan meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada 385,353 unit.

“Memandangkan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula ramalam TIV sepanjang tahunnya ke atas kepada 800,000 unit,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi memastikan transformasi ini mampan, sektor automotif negara mesti memperdalam integrasi tempatan.

“Malaysia tidak bersaing untuk menjadi tapak pemasangan termurah. Kami mencari rakan kongsi strategik jangka panjang yang sebenar.
“Oleh itu, kerajaan amat menggesa syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) asing dan pelabur global untuk membina hubungan yang lebih mendalam dan bermakna dengan ekosistem vendor tempatan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini