KOTA BHARU: Tujuh sekeluarga berdepan detik cemas apabila dua buah rumah sewa yang mereka duduki di Kampung Kota Jembal di sini, sejak 17 tahun lalu musnah dijilat api selepas berlaku litar pintas di salah sebuah kediaman tersebut, hari ini.
Dalam kira-kira pukul 5 pagi itu, peniaga pasar malam, Zairini Hamzah, 52, dan keluarga anaknya, Hazwani Padlisah, 32, kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam kedua-dua buah rumah berkenaan.
Zarini berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas di rumah Hazwani yang terletak di sebelah rumah sewanya sebelum api merebak ke kediamannya.
Katanya, dia ketika itu sedang tidur terus berlari mengejutkan dua cucunya yang berusia dua tahundan enam tahun sebelum keluar dari rumah tersebut.
“Saya hanya sempat mencapai beg tangan yang mengandungi wang dan semua dokumen termasuk surat pajak gadai. Semua stok barang makanan yang disimpan di dalam peti ais untuk dijual di pasar malam Kota Jembal esok turut terbakar,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.
Zairini berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar lintas di rumah anaknya kerana sistem pendawaian di kediaman tersebut sudah lama.
Katanya, sistem pendawaian di kedua-dua rumah itu tidak pernah diperiksa atau ditukar bermula dia menyewa di situ sejak 2009.
“Selain rumah, dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Juara, dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha NVX turut musnah dijilat api dalam kebakaran ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd. Faizol Hisam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.24 pagi sebelum 19 anggota bomba ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadam kebakaran dan operasi tamat kira-kira 6.25 pagi ini. – UTUSAN











