PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) yang juga seorang ahli politik tiba di Mahkamah Putrajaya di sini bagi proses permohonan reman.
Individu berusia linkungan 60-an yang memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari itu tiba sekitar pukul 9.30 pagi menaiki sebuah van.
Selain individu berkenaan, seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut tiba bagi proses permohonan reman dengan masing-masing diiringi beberapa pegawai SPRM.
Selain itu, turut kelihatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji yang sebelum ini telah direman selama tujuh hari sejak 21 Ogos lalu.
Semalam, SPRM menahan bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Berdasarkan sumber dari laman TikTok SPRM mendedahkan, kedua-dua individu lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Pada 21 Ogos lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH.
SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji.
Sebelum ini, laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun, mengemukakan sebanyak 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit. – UTUSAN











