ALOR SETAR: Kehadiran barisan legenda bola sepak Kedah era 90-an di Stadium Darul Aman, hari ini mengubat kerinduan peminat setia Hijau Kuning yang berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pemain yang pernah mencipta kenangan manis buat Kedah.
Sesi meet and greet bersama skuad legenda Kedah itu mendapat sambutan menggalakkan apabila penyokong hadir untuk bertemu idola mereka sebelum pasukan itu menyertai Langkawi Merdeka Cup bertemu skuad legenda Singapura, Sabtu ini.
Antara yang hadir termasuk awang import yang digeruni lawan ketika itu, Peter Nieketien, Olubunmi Adigun dan Tibor Szaban selain pemain tempatan seperti Faridzuan Che Hamid, Maizal Hairi Marzuki, Azmi Mahmud, Nidzam Adha Yusoff dan Norazam Ishak.
Bagi peminat yang membesar dengan kejayaan bola sepak Kedah era itu, Khairul Anwar Baharom, 44, berkata, pertemuan itu bukan sekadar peluang mendapatkan tandatangan dan bergambar bersama pemain, sebaliknya menjadi ruang mengimbau kembali zaman kegemilangan Hijau Kuning.
“Senyuman, gurauan dan kisah lama yang dikongsi para legenda turut menghidupkan kembali nostalgia di sebalik kejayaan skuad Kedah yang pernah menjadi antara pasukan disegani dalam kancah bola sepak tempatan.
“Kesempatan bertemu semula pemain yang selama ini hanya dikenali melalui rakaman perlawanan dan gambar kenangan memberikan pengalaman cukup bermakna, khususnya kepada kami yang membesar dengan aksi skuad Kedah 1993,” katanya.
Sementara itu, Adigun yang kini berusia 58 tahun berkata, dia amat teruja untuk kembali ke Kedah yang bukan hanya untuk bermain bola sepak, tetapi untuk bertemu kembali sahabat lama dan juga penyokong setia Kedah yang menjangkau tiga dekad lamanya.
“Saya merasa menjadi sebahagian daripada warga Kedah dan saya mahu menyantuni warga Kedah yang selama ini telah memberi sokongan dan sambutan cukup mesra kepada saya sepanjang karier saya di sini,” katanya.
Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim berkata, walaupun usia semakin meningkat, aura pemain legenda masih jelas dirasai apabila peminat tidak melepaskan peluang untuk bersalaman, bergambar serta bertukar cerita mengenai kenangan bola sepak Kedah.
Katanya, pertemuan itu juga menjadi suntikan moral buat pasukan legenda berkenaan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Langkawi untuk membawa kembali semangat dan nostalgia bola sepak Kedah ke pentas Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993.
“Saya sangat teruja dapat menghimpunkan mereka kembali sebab dulu saya sendiri hanya tengok mereka beraksi dari astaka sahaja, tapi bila legenda Kedah ini turun semula ke Kedah untuk bermain bola sepak saya harap peminat tidak melepaskan peluang keemasan ini,” katanya. – UTUSAN











