PUTRAJAYA: Pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara melibatkan pelbagai kementerian dan agensi akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan itu dirangka susulan arahan Kabinet bagi memperkukuhkan aspek kawalan di pintu masuk negara selain mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan imej negara daripada berulang.
Menurut beliau, kertas Kabinet berhubung perkara itu telah ditandatangani semalam dan akan dibentangkan secara bersama dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada Ketua Setiausaha (KSU). Betul-betul dua minggu selepas saya sampaikan arahan Kabinet dalam mesyuarat pasca-Kabinet bahawa Kabinet mengarahkan supaya diangkat satu syor pelan komprehensif untuk menambah baik hal kawalan pintu masuk yang melibatkan pelbagai agensi.
“Alhamdulillah, baru semalam saya tandatangan kertas Kabinet dan insyaAllah esok saya akan bentangkan secara bersama dengan rakan saya, Menteri Pengangkutan kerana ada elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan, Jemaah Menteri mengarahkan KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara aspek yang diberi perhatian dalam pelan tersebut ialah penyelarasan antara agensi bagi memastikan tiada lagi amalan bekerja secara berasingan atau ‘in silo’.
“Dalam masa dua minggu saya hargai kerjasama KSU dan ketua-ketua agensi di bawah KDN dan juga agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan agensi lain sehingga esok membolehkan kita untuk membentangkan satu pelan.
“Bahawa perlu ada elemen penyelarasan yang baik. Maksudnya tak boleh ada elemen bekerja secara in-silo,” katanya.
Saifuddin berkata, kerajaan turut meneliti keperluan untuk meningkatkan kompetensi sumber manusia selain menambah baik aspek infrastruktur di pintu masuk negara.
Jelasnya, perkara itu termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas serta latihan kepada petugas yang mengendalikan peralatan tersebut.
“Apakah dari sudut keperluan infrastruktur, CCTV, mesin imbas atau latihan tentang orang yang mengawasi mesin imbas, semuanya akan kita lihat dan saya akan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri esok sesuai dengan arahan yang diberikan kepada kita.
“Saya sangat menghargai usaha menghasilkan satu pelan yang akan memberikan kesan kepada kawalan pintu masuk agar tidak lagi berulang insiden yang sebenarnya memberikan imej atau terpalit imej hodoh kepada negara,” katanya. – UTUSAN











