Pelajar SMK Bukit Sawa cipta pesawat tanpa pemandu

Pelajar SMK Bukit Sawa cipta pesawat tanpa pemandu

Guru dan pelajar Kelab Aeronautik SMK Bukit Sawa bergambar bersama-sama pesawat tanpa pemandu (AUV) semasa program Terengganu Inc, SMK Bukit Sawa Pameran Nasional Aeroangkasa, Teknologi dan Bakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa Marang baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula daripada minat terhadap pesawat, Kelab Aeronautik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang Terengganu kini mencipta nama sebagai antara sekolah yang memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang teknologi aeroangkasa menerusi pembangunan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Lebih membanggakan, pelajar sekolah berkenaan bukan sekadar mempelajari teori, malah diberi peluang mereka bentuk, membina dan menerbangkan UAV sendiri, sekali gus membuktikan bakat muda dari luar bandar mampu diketengahkan dalam bidang teknologi tinggi.

 

RM45,000 cetus perubahan

Pengetua SMK Bukit Sawa, Mat Nasir Draman berkata, perkembangan program berkenaan mendapat suntikan awal menerusi peruntukan sebanyak RM45,000 daripada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. yang membolehkan pihak sekolah menyediakan kemudahan dan latihan berkaitan teknologi aeroangkasa.

Beliau berkata, program tersebut menjadi platform untuk mengubah imaginasi pelajar kepada sesuatu yang lebih realistik dengan menonjolkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang reka bentuk serta pembangunan teknologi.

“Fantasi menjadi realiti apabila kita beri peluang kepada pelajar untuk mencuba. Ini satu pencapaian besar buat sekolah kerana mereka bukan sahaja belajar, tetapi mampu menghasilkan sesuatu yang boleh ditunjukkan.

“Pelajar tingkatan satu dan dua juga sudah mula menunjukkan minat dan kesedaran yang tinggi terhadap bidang ini,” katanya.

 

 

 

 

 

Katanya, pendedahan tersebut turut membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai potensi bidang aeroangkasa yang mempunyai prospek kerjaya dan kebolehpasaran tinggi.

“Bidang aeroangkasa mempunyai potensi pendapatan yang baik dan peluang kerjaya yang luas. Sebab itu kita mahu ibu bapa melihat bidang ini sebagai salah satu laluan masa hadapan anak-anak,” katanya.
Katanya, tambahan sumbangan RM30,000 pada tahun ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Kelab Aeronautik sekolah.
Pelajar belajar reka, bina dan terbang UAV

Guru Pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif dengan pendekatan yang membolehkan pemain industri aeroangkasa melihat sendiri keupayaan pelajar dalam membangunkan teknologi UAV.

Menurutnya, pelajar seawal tingkatan satu hingga tingkatan empat diberi pendedahan secara berperingkat bermula daripada konsep, reka bentuk, pembinaan sehingga penerbangan.

“Untuk menghasilkan sesebuah UAV, kos mencecah RM6,000 seunit. Sehingga kini, ada UAV yang sudah dibangunkan.

“Kalau kita lihat, pelajar Tingkatan Dua sudah berupaya mengendalikan UAV yang spesifikasinya lengkap dan bukan sekadar konsep.

“Kita bermula daripad

a konsep, reka bentuk, bina dan terbang (design, build and fly). Ini menunjukkan kita sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membina teknologi UAV sendiri,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika ditemui baru-baru ini.

Badrul Hisyam berkata, pendekatan itu turut selari dengan usaha kerajaan membangunkan bakat serta keupayaan teknologi tempatan, termasuk menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Katanya, pendedahan awal itu penting bagi melahirkan generasi yang bukan hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu menghasilkan dan membangunkan teknologi sendiri.
“Sekarang kita mahu lebih ramai pemain industri tempatan membina dan membangunkan teknologi sendiri supaya kita tidak terlalu bergantung kepada negara luar.

“Matlamat kita adalah membina kedaulatan teknologi sendiri dan itulah objektif kami di peringkat sekolah,” katanya.

Bakal lahir jurutera muda

Menurutnya, program itu mula dikembangkan secara rasmi pada 2023 dan kini mempunyai 35 ahli, manakala kumpulan pertama pelajar terbabit sudah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Insya-Allah, dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi kita berharap dapat melihat jurutera pertama yang lahir daripada program ini,” katanya.

 

 

 

 

Beliau berkata, pembangunan UAV dilakukan secara berperingkat dengan pelajar pada peringkat awal menggunakan bahan foam sebelum beralih kepada bahan komposit termaju.

Katanya, pelajar turut didedahkan kepada proses menghasilkan UAV dari awal termasuk mereka bentuk, menghasilkan acuan dan menggunakan teknik infusion.

“Selepas mereka memahami konsep dan teori, kita akan beralih kepada bahan komposit kerana ia antara bahan yang digunakan dalam industri pembinaan pesawat.

“Semua itu kita buat dari awal dalam skala yang kecil,” katanya.

 

Lebih menarik, Badrul Hisyam berkata, UAV yang dibangunkan pelajar kini mampu beroperasi secara autonomi termasuk melaksanakan tugasan melepaskan muatan secara automatik.

“Sekarang kita sedang membangunkan sistem pengecaman imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan UAV mengesan sasaran secara visual.

“Sebelum ini kita menggunakan titik sistem penentu kedudukan global (GPS) yang diprogramkan, tetapi sistem baharu ini membolehkan UAV mengenal pasti sasaran berdasarkan visual sebelum melepaskan muatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program berkenaan turut mempunyai hala tuju khusus dalam membentuk pelajar mengikut kecenderungan serta keperluan industri.

Katanya, terdapat pelajar yang mengikuti pengajian berkaitan penerbangan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), khususnya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), manakala sebahagian lagi mengikuti aliran sains fizikal sebagai persediaan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

“Kita sudah ada ‘smart profiling’ (iaitu) pelajar yang berminat dalam MRO kita arahkan ke laluan itu, manakala yang mempunyai kecenderungan dalam reka bentuk pula kita persiapkan untuk bidang kejuruteraan.

“Oleh itu, kita bukan sekadar mengajar mereka membina UAV, tetapi sudah mula membentuk laluan kerjaya mereka,” katanya.

Badrul Hisyam yang mempunyai latar belakang sebagai guru berkata, minatnya terhadap teknologi penerbangan menerusi hobi terhadap pesawat sebelum beliau mengikuti pelbagai kursus pendek bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, pengalaman itu kemudian dikembangkan kepada pelajar supaya mereka mendapat peluang mempelajari teknologi aeroangkasa pada usia lebih muda.

Katanya, bidang berkenaan juga penting untuk diperluaskan di peringkat sekolah kerana pendedahan terhadap teknologi pertahanan masih agak terhad.

“Saya melihat pendedahan tentang teknologi pertahanan di peringkat sekolah masih kurang sedangkan bidang ini sangat penting,” katanya.

 

Kata beliau, program itu turut memberi perhatian kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan matlamat meningkatkan aspirasi dan membentuk pemikiran lebih besar terhadap masa depan.

“Kita mahu menggerakkan pelajar B40 supaya mempunyai cita-cita lebih tinggi dan membina semangat juang yang tinggi.

“Walaupun ramai pelajar kita datang daripada kawasan kampung, mereka sebenarnya mempunyai cita-cita yang besar,” katanya.

Hasil kesungguhan itu, pasukan SMK Bukit Sawa mencipta kejayaan apabila muncul juara MyAERO 2026 UAV Challenge peringkat kebangsaan yang berlangsung di Taman Agro Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, pasukan berkenaan mempertaruhkan UAV V-TOL komposit ‘Super Stingray’ dengan sayap hujung yang dioptimumkan, membuktikan keupayaan pelajar alam pembangunan dan pengendalian teknologi UAV.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×