Pelaburan pendidikan perlu hasilkan gaji lebih tinggi - Utusan Malaysia

Pelaburan pendidikan perlu hasilkan gaji lebih tinggi

PELABURAN besar dalam pendidikan dan latihan diterjemahkan kepada gaji graduan lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan pelaburan besar dalam pendidikan dan latihan diterjemahkan kepada gaji graduan lebih tinggi, pekerjaan setimpal dengan kelayakan serta laluan kerjaya yang lebih jelas, bukan sekadar meningkatkan jumlah graduan dan tempat latihan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Taylor’s University, Dr Paul Anthony Maria Das berkata, penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI) serta kerjasama antara institusi pendidikan dan industri merupakan langkah tepat.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan dasar berkenaan perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar yang dinikmati graduan selepas menamatkan pengajian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perhatian lebih besar perlu diberikan kepada gaji graduan, pekerjaan di bawah kelayakan, padanan kemahiran dan perkembangan kerjaya.

“Universiti juga perlu menerima pembiayaan lebih kompetitif bagi penyelidikan yang menangani cabaran ekonomi, teknologi dan sosial Malaysia,” katanya.

Tambahnya, hubungan lebih kukuh antara pendidikan, penyelidikan dan pekerjaan dapat membantu mengekalkan bakat tempatan, khususnya apabila rakyat berkemahiran tinggi melihat peluang bermakna untuk pembangunan profesional, inovasi dan kemajuan kerjaya.

Cadangan itu selari dengan fokus kerajaan dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 untuk memperkukuh TVET, STEM, keupayaan digital dan AI serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri.

Dalam isu perumahan, Paul berkata, dasar kerajaan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pembinaan lebih banyak rumah, sebaliknya memastikan kediaman benar-benar mampu dimiliki berdasarkan pendapatan isi rumah.

“Aspek lokasi perumahan berhampiran pusat pekerjaan, pengangkutan awam dan kemudahan asas juga perlu diberi perhatian.

“Perumahan mampu milik bukan sekadar berkaitan harga rumah, tetapi turut melibatkan kos untuk tinggal di sesuatu kawasan termasuk pengangkutan dan akses kepada kemudahan asas,” katanya.

Sementara itu, Paul berkata, pengukuhan fiskal, subsidi bersasar dan peningkatan kutipan hasil diperlukan bagi memastikan kemampanan kewangan negara dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, reformasi berkenaan perlu dirangka dan dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menambah tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.

“Sekiranya cukai penggunaan yang lebih meluas dipertimbangkan, barangan keperluan perlu terus dilindungi, manakala isi rumah rentan serta golongan berpendapatan rendah dan pertengahan perlu diberikan pampasan sewajarnya.

“Rakyat juga perlu dapat melihat ke mana penjimatan daripada reformasi yang sukar itu disalurkan,” katanya.

Menurut Paul, kerajaan juga perlu memastikan setiap perbelanjaan awam mempunyai ukuran keberhasilan yang jelas supaya rakyat dapat melihat kesan langsung daripada dasar yang dilaksanakan.

Beliau berkata, antara petunjuk yang boleh digunakan termasuk pengurangan tempoh menunggu di hospital, peningkatan kemudahan sekolah, pertumbuhan pendapatan isi rumah, pengukuhan peluang pekerjaan graduan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam.

“Belanjawan 2027 bukan sekadar perlu lebih besar, tetapi lebih bersasar, telus dan berakauntabiliti.

“Reformasi ekonomi hanya akan mampan apabila rakyat dapat merasai manfaatnya melalui kuasa beli yang lebih kukuh, gaji lebih baik, pekerjaan berkualiti dan perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini