KKM pertahan tindakan pindah pengarah hospital Sabah - Utusan Malaysia

KKM pertahan tindakan pindah pengarah hospital Sabah

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) mempertahankan tindakan pentadbiran menukar penempatan seorang pengarah hospital di Sabah susulan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pegawai terbabit kini ditempatkan sementara di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan tidak lagi menjalankan tugas sebagai pengarah hospital sepanjang proses berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kelancaran proses siasatan tanpa sebarang gangguan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berpegang kepada apa yang telah dinyatakan sebelum ini. Hasil siasatan dalaman yang dijalankan, tindakan pertukaran penempatan secara pentadbiran atau gantung tugas telah diambil untuk memastikan kelancaran proses siasatan tanpa sebarang gangguan.

“Beliau ditempatkan sementara di Jabatan Kesihatan Negeri tanpa menjejaskan gred perjawatan beliau, namun tidak lagi menjalankan peranan sebagai Pengarah Hospital sepanjang siasatan berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah (MA63) Bil 1/2026 bertempat di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan pentadbiran berkenaan tidak menjejaskan gred perjawatan pegawai terbabit, sebaliknya penempatan sementara itu dibuat bagi memastikan proses berkaitan dapat berjalan dengan lancar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau sebelum ini memaklumkan bahawa laporan rasmi daripada JKNS dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut gred pegawai berkenaan untuk tindakan selanjutnya berdasarkan bidang kuasa agensi itu.

Tindakan tersebut dibuat selepas KKM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap pegawai terbabit.

Pada bulan lalu, isu berkenaan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan daripada Parti Warisan (WARISAN), Chin Teck Ming dan Ketua Biro Kesihatan parti berkenaan, Dr Istefan Koh berhubung dakwaan salah laku terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut mengesahkan bahawa laporan polis berhubung perkara terbabit telah dibuat pada awal tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN