KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan melibatkan pengisytiharan harta.
Perkara itu disahkan peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Perdana Menteri kesembilan itu berhubung pertuduhan yang akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Insya-Allah beliau dijangka hadir ke mahkamah sebelum 9 pagi esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, Ismail Sabri akan didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan aset.
Ismail Sabri sebelum ini dijadualkan didakwa pada 7 Ogos lalu, namun ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan.
Prosiding itu kemudian ditetapkan semula pada hari ini bagi membolehkan pertuduhan dibacakan dan pengakuan direkodkan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai kira-kira RM7 juta dalam siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Rampasan itu dibuat hasil penggeledahan di beberapa kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – UTUSAN











