PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung hantaran pengalaman seorang individu semasa berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum hantaran tular itu dan sudah membuat semakan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, selain itu, pihaknya turut menyemak rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan daripada pegawai bertugas ketika kejadian.
“Hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan yang diperoleh jabatan.
“Kami memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan jabatan.
“Dalam hal ini, perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham,” jelasnya.
Menurutnya, pihaknya kekal komited untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, di samping terus memberikan perkhidmatan yang berhemah, berintegriti dan mengutamakan kepentingan masyarakat.
Dalam hantaran tular itu, seorang wanita mendakwa dimalukan di khalayak ramai apabila pegawai JIM menuduh dia mencuri sarung pasport. – UTUSAN











