PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penahanan itu bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok,” kata SPRM semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Sebelum ini, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman selama tujuh hari kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan wang pelaburan dan saham agensi pengurusan haji itu bernilai RM190 juta.
Penahanan tersebut susulan pendedahan laporan RCI pada 29 Julai lalu bahawa TH mengalami kerugian hampir RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan dan kesilapan dalam pelaburan sejak 2014.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pada 30 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI TH termasuk mengenal pasti unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – UTUSAN











